Akidah: Pendahuluan


Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya.   Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.  Dia hendaklah menghayati dan mengamalkan Rukun Islam dan Rukun Iman.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
....Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan dia.... 
 - (Surah Yusuf : 40)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah, malaikatnya, kitab-kitabnya, rasul-rasulnya, hari akhirat dan kamu beriman kepada ketentuan baik dan buruk.
- (Riwayat Muslim)

Perkataan ’Akidah’ berasal daripada perkataan Arab berbunyi "AQADA" yang bererti menyimpul sesuatu.  Dari segi istilahnya, akidah ialah keimanan yang mantap dan tidak boleh terurai oleh mana-mana pengaruh sama ada dari luar ataupun dari dalam diri seseorang itu.  Ikatan akidah tidak boleh dibandingkan dengan ikatan jasmani yang dilihat secara zahir kerana ia merupakan satu ikatan rohani yang kukuh lagi abstrak antara makhluk dengan penciptanya. 

Imam Abu Ja'far Ahmad bin Muhammad bin Salamah bin Salmah bin `Abd al Malik bin Salmah bin Sulaim bin Sulaiman bin Jawab Azdi, yang lebih dikenali sebagai Imam Tahawi, dalam buku Al Akidah , telah menggariskan perkara-perkara yang wajib diketahui, dipercayai dan difahami oleh semua orang Islam iaitu, antara lain, berkenaan Tauhid, Nabi Muhammad s.a.w., Al Quran, Isra’ dan Mi’raj, Hari Akhirat, dan lain-lain lagi.

Akidah merupakan asas bagi suatu cara hidup yang lengkap, syumul (menyeluruh) lagi terperinci.  Cara hidup demikian tidak mungkin wujud tanpa mempunyai asas yang kukuh.  Ini jelas dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud:

Sebagaimana yang telah digariskan oleh-Nya dalam al-Quran yang bermaksud:
Katakanlah : Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.  Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).
 - (Surah Al-An'Am:162-163)

Bersambung...

- Akidah: Pendahuluan