Akidah: Asas-Asas Akidah


Artikel ini adalah sambungan dari artikel Akidah: Pendahuluan.

Tujuan akidah Islam yang paling utama adalah menyeru manusia kepada tauhid dan definisi tauhid adalah mengesakan Allah s.w.t. dalam apa jua bentuk ibadat dengan mengarahkan ibadat tersebut semata-mata kepadaNya tanya mensyirikkanNya dengan segala sesuatu .   Mentauhidkan Allah terbahagi kepada 3 bahagian iaitu:

1.    Tauhid Rububiyah
2.    Tauhid Uluhiyah
3.    Tauhid Asma’ wa Sifat

Menurut Bin Baaz , Tauhid Rububiyah ialah mengimani bahawa Allah s.w.t. adalah pencipta segala sesuatu dan mentadbir kesemuanya dan tidak ada sekutu bagiNya dalam perkara tersebut.  Ia ialah iktikad yang kukuh bahawasanya Allah s.w.t. itu adalah tuhan (ar-Rab) bagi segala sesuatu dan tiada tuhan selain dari-Nya.  Termasuk dalam jenis tauhid rububiyyah ialah beriman dengan kekuasaan Allah s.w.t. iaitu beriman bahawasanya segala perkara adalah berlaku dan berpunca dari pengetahuan, kehendak dan kekuasaan Allah SWT.

Golongan manusia yang ingkar kepada tauhid rububiyyah terbahagi kepada dua golongan iaitu :
 golongan yang ingkar akan kewujudan tuhan dan dengan itu mengingkari tauhid rububiyyah;
  • golongan yang mengakui wujudnya tuhan tetapi mensyirikkannya dalam sebahagian  tauhid rububiyyah-Nya.

Tauhid Uluhiyah ialah mengimani bahawa Allah s.w.t. adalah yang berhak untuk disembah, tidak ada sekutu bagiNya dalam hal tersebut.  Ini bermakna, tidak ada yang berhak disembah dengan hak kecuali Allah s.w.t.  Maka, segala bentuk ibadah seperti solat, puasa dan yang lainnya, wajib dilaksanakan hanya untuk Allah s.w.t.  Tidak boleh ada satu bentuk ibadah pun yang ditujukan kepada selain Allah s.w.t.

Tauhid uluhiyyah merupakan perkara yang pertama dalam agama iaitu mengucap syahadah “Laa illahaillallah”.  Tauhid uluhiyyah juga merupakan perkara yang akhir dalam agama iaitu sesiapa yang dapat menjaga aqidahnya pada saat akhir dan berkata-kata La ilahaillallah, maka ia akan dimasukkan ke dalam syurga.

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“Wahai orang-orang beriman bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan sebagai seorang muslim. (Ali-Imran, 102)
Manakala hadis Rasulullah s.a.w. menyebut yang bermaksud :

”Sesiapa yang akhir kalamnya mengucap akan masuk syurga.”

Tauhid Uluhiyyah menuntut:

  1. Wajib ikhlas dalam mencintai Allah SWT.
  2. Wajib mengesakan Allah SWT dalam berdoa, bertawakal dan mengharapkan sesuatu.
  3. Wajib mengesakan Allah SWT dalam takut.
  4. Wajib mengesakan Allah SWT dalam melakukan segala jenis ibadat badaniyyah seperti sembahyang, puasa dan sembelihan serta ibadat qauliyyah seperti nazar, istighfar dan lain-lain.
Tauhid Asma' wa Sifat ialah beriktikad dengan kukuh bahawa Allah SWT disifatkan dengan segala sifat kesempurnaan, bersih dari segala sifat-sifat kekurangan dan sifat-sifat-Nya itu hanya khusus bagi-Nya tanpa menyerupai sifat-sifat makhluk lain, sesuai dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ  اللَّهُ الصَّمَدُ  لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ  وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ


"Katakan, Dialah Allah Yang Maha Esa.  Allah tempat bergantung.  Tidak melahirkan dan tidak dilahirkan. Dan tidak ada yang setanding denganNya akan sesuatu pun." (Al-Ikhlas: 1-4).
Dan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Tidak ada yang seperti Dia sesuatu pun dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Asy-Syura: 11).
Tauhid asma wa’ sifat, berdasarkan kepada tiga asas iaitu mensucikan sifat-sifat Allah s.w.t. dari menyerupai sifat-sifat makhluk; memadai dengan nama-nama dan sifat-sifat sekadar yang disebut dalam Al Quran dan al-Hadis; dan beriman dengan nama-nama dan sifat-sifat tanpa menyoal tentang kaifiatnya.

Terdapat sebahagian ulama yang membahagikan asas akidah kepada dua sahaja iaitu Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah manakala Tauhid Asma’ Wa Sifat dihimpunkan bersama dengan Tauhid Rububiyyah dan dinamakan Tauhid Ma’rifah .