Akidah: Peranan Akidah Dalam Kehidupan Masa Kini


Artikel ini adalah sambungan dari artikel: Akidah: Pendahuluan & Akidah: Asas-Asas Akidah .

Dalam dunia masa kini yang serba canggih dan penuh dengan pelbagai ragam manusia serta cabaran, akidah memainkan peranan besar dalam seluruh kehidupan umat Islam.  Ketiadaannya akan memudahkan anasir-anasir negatif merosakkan individu, masyarakat dan negara.

Akidah menjadi benteng seseorang mukmin agar tidak dipengaruhi oleh anasir-anasir yang boleh mencemarkan kesucian pegangan aqidah tauhid - teras dan roh terhadap kewujudan agama Islam dan mengimani Allah Yang Maha Esa. 

Download: Cara Mudah  Dan Berkesan Mengajar Anak Membaca

Sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud:
Yang demikian (sifat-sifat dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu tiada Tuhan (yang disembah dengan sebenar-benarnya), melainkan Dia yang menciptakan tiap-tiap sesuatu.  Oleh itu beribadatlah kamu kepada-Nya dan (ingatlah), Dialah yang mentadbirkan segala-galanya.(Surah al-An-Am:102)
Akidah juga membentuk keperibadian insan.  Sebagaimana acuan dapat membentuk dan mencorakkan air kandungannya maka demikianlah akidah dapat membentuk dan mendidik orang yang mengambilnya menepati dengan hakikat dan tabiat kemanusiaan yang tulen dan asli seperti yang dikehendaki oleh penciptanya.  Pendidikan akidah dapat membentuk sifat-sifat nalurinya, akal fikirannya, iradahnya dan perasaannya.  Ringkasnya pendidikan akidah bermatlamat untuk membentuk nilai akhlak dan keperibadian seseorang insan yang akan mencorakkan suluk amali atau gerak laku amal perbuatan selaras dengan peranan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah s.w.t. di muka bumi ini.

Kekukuhan akidah inilah yang akhirnya menjadi sumber kekuatan Islam.  Itulah hakikat kekuatan umat Islam, kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya yang menjadi asas kepada kekuatan jasmaninya.  Di dalam sejarah kegemilangan umat Islam yang silam kita mendapati bahawa umat Islam di masa itu telah dibentuk dan dididik oleh akidah yang akhirnya melahirkan kekuatan yang sungguh kental dan luar biasa.  Kita lihat sahaja kepada Bilal, betapa akidah telah memberikan kekuatan kepadanya.  Abdul Rahman bin Auf dan Osman bin Affan sanggup membelanjakan hartanya kerana mempertahankan Islam sehingga tiada apa lagi yang dimiliki melainkan Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w..  Ali bin Abi Talib sanggup mempertaruhkan nyawanya kerana Rasulullah s.a.w. dan banyak lagi contoh-contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. hasil dari pendidikan akidah yang mantap.

Dalam konteks remaja masa kini, remaja hendaklah dibekalkan dengan kesedaran rohaniah beserta asas pemikiran yang tinggi agar mereka dapat menentang sebarang krisis pemikiran di hari depan.  Pemikiran sekular dan liberal barat yang telah pesat berkembang ke timur diolah dalam sistem komunikasi dan telekomunikasi canggih dan boleh memberi kesan dan pengaruh negatif kepada remaja yang tidak kukuh asas pemikiran dan akidahnya. 

Download: Cara Mudah  Dan Berkesan Mengajar Anak Membaca 

Oleh itu, remaja memerlukan akidah agar mereka dapat meletakkan ilmu yang diperoleh dari barat ini di tempat yang sesuai, tidak membiarkan ilmu mengatasi akidah sebagaimana yang dilakukan oleh Charles Darwin dan golongan atheis lain. Mempelajari sains dan matematik, misalnya, yang terpancar dari akidah dan ibadah yang kukuh mendekatkan remaja dengan Allah s.w.t.  Inilah asas-asas syariah yang menyebabkan ilmu berkembang dalam batasan-batasan yang diredai-Nya. 

Insyallah, sekiranya akidah dapat dikembangkan selaras dengan pemikiran intelek, maka bukan hanya masyarakat dan negara dapat mencapai kegemilangan global tetapi juga Tamaddun Islam yang diidami, Insyallah, akan dapat dikecapi.

- Akidah: Peranan Akidah Dalam Kehidupan Masa Kini