Maleficent - Kisah Sebenar Sleeping Beauty


Ingatkah anda semua dengan filem animasi Disney, Sleeping Beauty? Bagi mereka yang membesar di zaman rock kapak (80-an & 90-an) pastinya lebih mudah untuk ingat. Kisahnya mengenai seorang puteri, Princess Aurora yang dikenakan sumpahan oleh pari-pari bernama Maleficent untuk tidur selama-lamanya apabila tercucuk jarum sulaman. Semuanya gara-gara bapanya terlupa untuk mengundang Maleficent ke majlis 'christening' Princess Aurora. Aduh, agak remeh sungguh alasan tersebut bukan?


Mungkin atas sebab itu juga, filem Sleeping Beauty kurang mendapat sambutan sebagaimana filem animasi puteri-puteri Disney yang lain. Princess Aurora juga jadi kurang popular berbanding dengan Rapunzel, Cinderella mahupun Snow White.

Oleh itu, Disney telah mendapat idea baru dengan mengubah sejarah Sleeping Beauty dengan memberi nafas baru pada filem ini dengan menghidupkan semula filem ini, kali ini dari kononnya cerita oleh Maleficent sendiri. Dalam kata lain, sejarah Sleeping Beauty yang dahulu adalah dari pandangan orang lain dan tidak tepat. Maka, inilah kisah sebenarnya.

Dalam filem yang dibintangi oleh pelakon Hollywood ternama, Angelina Jolie, Disney's Maleficent mengisahkan kisah awal hidup Maleficent yang bercinta dengan bakal raja atau bapa Princess Aurora. Oleh kerana kerakusan harta dan kuasa, beliau telah memotong sayap Maleficent dan menghancurkan hati Maleficent dengan meninggalkannya dan mengawini puteri raja. Itulah kisah disebalik Maleficent tidak dijemput ke majlis Princess Aurora yang mana plot dan jalan cerita filem ini dibina dengan sebaiknya untuk mencengkam perasaan penonton bila melihat kemarahan dan kesedihan Maleficent.

Filem ini juga mengungkai kisah sebenar selepas Princess Aurora tercucuk jarum dan tertidur akibat sumpahan Maleficent. Bagaimana hati Maleficent yang telah hancur luluh menjadi cair dan lembut kembali dengan kecomelan dan kebaikkan Princess Aurora. Ia juga menolak konsep filem-filem Disney dahulu (kecuali Frozen) yang 'true love' mestilah antara pasangan lelaki dan perempuan (prince and princess). Hendak tahu apa kesudahan filem Maleficent, apa itu 'true love' dan apa yang terjadi seterusnya pada Princess Aurora, saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda.