Pengurusan Organisasi Dalam Islam


Islam diutus Allah untuk menyusun setiap kegiatan manusia, termasuk dalam melaksanakan sesuatu aktiviti sesebuah organisasi supaya kerja bermutu tinggi dapat dihasilkan.  Antara langkah-langkah penting yang patut dijadikan amalan adalah :


Niat

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan....” (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim).
Sebelum melakukan sesuatu pekerjaan termasuk dalam sesebuah organisasi, perlulah ditetapkan dahulu niat bagi sesuatu pekerjaan yang dilakukan.  Misalnya, panggilan telefon yang dibuat oleh Bahagian Khidmat Pelanggan yang bertujuan untuk mendapatkan pembayaran bagi meningkatkan keuntungan syarikat atau untuk membantu mengingatkan pelanggan tentang akaun yang tertunggak. 

Dalam Islam, niat adalah teras segala amalan.  Amalan baik mesti disertakan niat yang baik.  Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syara', tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik.  Demikian juga amalan baik jika diniatkan bukan kerana Allah, seumpama kerana riya', menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah.

Elakkan Syubhat

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda :
Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya.  Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya.  Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya.  Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya.  Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.  Ketahuilah ia adalah hati.  (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Hadis di atas dapat disimpulkan bahawa sesebuah organisasi seharusnya sentiasa berhati-hati dan mengelakkan dari melakukan perkara-perkara yang meragukan atau diragui atau Syubhat.  Misalnya apabila sesebuah kedai ditawarkan untuk menjual produk yang kandungannya dicurigai, maka pekedai hendaklah menolak produk tersebut kerana jika ia terbukti membahayakan kesihatan akan menjejaskan reputasi kedai itu dan boleh membawa kepada kerugian yang lebih besar (gulung tikar).  Tambahan pula, ketua yang tidak bertanggungjawab akan melahirkan lebih ramai pekerja yang tidak bertanggungjawab dan itu akan merugikan syarikat.

Setiap orang Islam wajib tinggalkan perkara syubhat untuk mengelakkan dosa, menyempurnakan iman dan mendapat keredhaan Allah.  Jika ia syubhat pada pandangan orang lain tetapi tidak pada kita, maka mesti dijelaskan supaya hilang syubhat tersebut.

Sabar

Daripada Abu Hurairah r.a.: Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW : 
"Berikan daku wasiat.”  Baginda bersabda: “Janganlah engkau marah.”  Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali.  Baginda tetap bersabda: “Janganlah engkau marah.””  (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari).

Hadis ini menerangkan betapa sifat marah itu perlu dihindari oleh setiap mukmin, kerana marah membawa banyak keburukan terhadap diri sendiri juga terhadap orang lain.  Jangan marah ertinya mengelakkan sebarang sebab yang membawa kepada kemarahan.  la juga bererti menahan marah bila dia marah.  Erti menahan marah ialah menahan dari melaksanakan tuntutan ledakan marah seperti memukul, memaki hamun atau mengamuk.

Marah diizinkan hanya apabila ia didorong oleh perasaan mahu membela kebenaran kerana Allah, namun mestilah menurut cara hikmah dan batas yang dibenarkan.

Dalam konteks organisasi, hadis ini menyarankan sikap bersabar.  Seseorang Ketua Jabatan misalnya, janganlah terus marah sekiranya kakitangannya silap menjalankan tugas.  Dia haruslah menangani kesilapan itu dengan berhemah dan memberi tunjuk ajar dengan baik.  Kesabaran sepserti itu akan memberi motivasi positif kepada kakitangan dan membawa kepada peningkatan produktiviti dan keuntungan kepada organisasi.

Bersih

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda :
“Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”
lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, sehingga menganggapnya sebahagian daripada lman.  Jika hadis ini dipraktikkan dalam organisasi, bersih membawa maksud bukan sahaja kebersihan fizikal (pejabat dan persekitaran yang bersih, nyaman dan menyihatkan) tetapi juga budaya kerja yang bersih, amanah dan cekap.  Amalan yang baik seperti itu akan membawa kepada kejayaan jangka panjang kepada organisasi.

Sungguhpun amalan yang tidak bersih seperti budaya rasuah boleh membawa keuntungan dengan cepat, namun ia tidak kekal lama dan mendatangkan masalah lain di masa hadapan.  Misalnya syarikat kotraktor binaan yang terpaksa memberi rasuah untuk mendapat tender terpaksa menjimatkan kos dengan menggunakan barangan yang murah dan kurang berkualiti.  Kegiatan sebegitulah yang membawa kepada bangunan runtuh, dinding rumah merekah padahal pembeli belum pun masuk rumah, dan sebaginya.

Abdullah Ibn ‘Amr Ibn Al-’As telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda (mafhumnya): 
“Orang yang menerima rasuah dan yang memberi rasuah sangat dimurkai Allah”.  (Riwayat Bukhari and Muslim)

Budaya rasuah yang menjadi suatu tradisi kepada segelintir masyarakat dan menular menjadi penyakit dalam negara telah lama ditegah oleh Rasulullah s.a.w.  Ianya terbukti membawa masalah kepada organisasi kerajaan, swasta, masyarakat dan negara.

Berlumba-lumba 

Daripada Abu Zarr r.a. juga, (beliau meriwayatkan): Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW : 
“Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala.  Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka.”  Baginda bersabda: ”Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamu pun adalah sedekah."  (Hadis riwayat Imam Muslim)

Hadis di atas menunjukkan sikap para sahabat Rasulullah SAW yang sering berlumba-lumba mahu melakukan kebaikan.  Baginda menjelaskan bahawa setiap amalan soleh mempunyai nilaiannya yang tersendiri di sisi Allah SWT dan ia tidak akan dipersia-siakan sama sekali.  Bersedekah, misalnya, tidak hanya terhad kepada wang ringgit tetapi juga melalui amal perbuatan.

Dalam konteks organisasi pula, setiap kakitangan dan pihak pengurusan hendaklah sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan membuat yang terbaik setiap masa kerana setiap perbuatan yang baik adalah nilainya di sisi Allah SWT.

Bertanggungjawab 

Daripada Abu Sa'id al-Khudrie r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
“Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya.  Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya.  Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya.  Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman.”  (Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim)

Adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam untuk menunaikan tanggungjawab dakwah iaitu menyeru kepada perkara ma'aruf dan mencegah kemungkaran dan ia tidak boleh diambil ringan kerana kecelakaan akan menimpa seluruh umat sekiranya kemungkaran dibiarkan terus merebak. 

Barangsiapa yang melihat suatu kemungkaran berlaku di depan matanya, dan dia berkuasa mencegahnya sama ada dengan tangannya atau dengan lidahnya maka dia berkewajipan mencegah kemungkaran tersebut.  Dia berdosa sekiranya membiarkan kemungkaran tersebut berlalu tanpa sebarang tindakan atau percubaan mahu mencegahnya, kecuali kalau dia tidak mampu atau kerana dibimbangi akan membawa kemudharatan kepada dirinya apabila dia mencegah mungkar itu.

Mencegah mungkar hanya dengan hati, iaitu dengan membencinya dan berazam mahu mencegahnya pada suatu masa nanti kalau dia mampu adalah tahap iman yang paling lemah.

Demikian juga dalam organisasi.  Sekiranya seseorang Penyelia melihat kakitangannya lalai menjalankan tugas, hendaklah ditegur.  Dalam hal kakitangan pula, sekiranya melihat pegawai atasan melakukan perkara yang menyalahi peraturan syarikat, mestilah dilaporkan kepada pihak yang berkenaan.  Jika tidak, perkara itu akan menjadi lebih teruk dan merugikan syarikat.

Hargai Masa

Terdapat sepotong hadis yang amat popular di surau dan masjid iaitu sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: 
"Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup seratus tahun lagi, dan beribadahlah seolah-olah kamu akan mati esok hari." 

Di hadis yang lain lagi yang bermaksud: 
"Jikapun berlaku kiamat, di tangan kamu ketika itu ada sepohon benih kurma, (maka) kamu masih lagi berkesempatan untuk menanmnya, maka hendaklah kamu menanamkannya."
Hadis di atas mengajak manusia supaya menghargai masa dan menggunakannya dengan sebaik mungkin dengan perkara yang berfaedah.  Alangkah ruginya masa dan umur muda yang disia-siakan.  Masa hendaklah diatur dengan betul dan bijaksana.  Islam sangat mengalakkan, malah menyuruh supaya kita mengisi "ruang kekosongan waktu" yang ada sepenuh-penuhnya.  Perkara yang boleh dilakukan pada hari ini jangan ditangguh-tangguhkan pula pada esok hari (procrastinate).

Dalam sesuatu organisasi, masa hendaklah dibahagi dengan betul.  Konsep ’dateline’ mesti difahami dan dituruti.  Begitu juga dalam membahagikan masa untuk kerja, keluarga, ibadah, riadah, dan sebagainya.  Barulah seseorang boleh menjadi insan yang seimbang dan membawa kebaikan kepada organisasi. 

Demikianlah sebahagian daripada amalan-amalan berdasarkan Hadis Rasulullah s.a.w. yang jika diamalkan, Insyallah, akan membawa kejayaan kepada sesuatu organisasi.


BIBLIOGRAFI /SUMBER RUJUKAN:
  1. Hadis 40, Imam an-Nawawi
  2. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, Fiqh Al-Sirah 1, Diterjemah oleh Ust. Mohd. Darus Sanawi, Terbitan Dewan Pustaka Fajar (1983)
  3. Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abdul Rahman, Biografi Muhammad Bin Abdullah, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (2003)
  4. Dr. Mustafa as-Syibaie, Sirah Nabi Muhammad S.A.W. Pengajaran & Pedoman, Siri Tarbiyah, www.mykonsis.org
  5. Watt, W.M., Muhammad at Mecca, Oxford : The Clarendon Press (1953)
  6. Barakat Ahmad, Muhammad and the Jews, New Delhi : Vukas Publishing House Pvt Ltd (1979)
  7. Muhammad Ibn Sa’d, Al-Tabaqat al-Kubra, Beirut : Dar Sadir (1960)
  8. Ahmad Bin Yahya bin Jabir Al-Baladhuri, Kitab Jumal min Ansab al-Ashraf, Beirut ; Dar al-Fikr (1984)
  9. Muhammad Hamidullah,  The First Written Constitution in the World, The Muslim World Leadue, Vol. 1, No. 3, Disember 1973