Debat Bahasa Inggeris Di IPT



Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, dilapurkan berkata Institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta perlu memperkasakan program latihan dan pembangunan debat bahasa Inggeris di peringkat tempatan dan antarabangsa bagi melahirkan lebih ramai pendebat yang mampu berbahas dalam bahasa Inggeris dengan baik khususnya dalam kalangan pelajar berbangsa Melayu. 


Menurut Tan Sri Dr. Rais lagi, kita memiliki ramai pelajar Melayu yang berbakat dan mampu bertutur secara spontan dalam bahasa Inggeris namun golongan ini masih belum menyerlah dalam berpidato dan debat ekoran kekurangan platform dan saluran khas yang fokus untuk mencungkil bakat dan melatih kemahiran mereka.

Beliau yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut mencadangkan kepada IPT serta Majlis Profesor Negara (MPN) untuk melaksanakan program pembangunan dan latihan bagi melahirkan lebih ramai pendebat Melayu berkemahiran tinggi untuk bersaing di pe­ringkat antarabangsa. Cadangan itu dibuat dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Akhir Debat Antara Universiti-Universiti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Gombak hari Khamis yang lalu.

Pertandingan yang berlangsung selama empat hari itu menyaksikan UIAM muncul johan diikuti Independent University Bangladesh sebagai naib johan manakala Islamic University of Technology Bangladesh di tempat ketiga. Kategori Pendebat Terbaik menjadi milik wakil UIAM, Syed Saddiq Syed Abdurrahman.

Gambar ihsan: www.utusan.com.my