LEAD-English Camp 2016 Edisi Kedua



Bagi tujuan memperkasakan pengetahuan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tempatan, Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (KKTB), Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Malaysia (YATIM) telah menganjurkan edisi kedua kem bahasa Inggeris, LEAD-English Camp 2016 baru-baru ini.

Kem yang menghimpunkan 20 orang anak yatim dari pelbagai Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan tujuh pelajar tahun ketiga jurusan TESL UM itu bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam konsep yang tidak seperti pembelajaran berasaskan peperiksaan.

Menurut Pengurus Program dan Operasi YATIM, Mohammad Zaki Melatusamsi, keperluan berbahasa Inggeris sangat penting, terutamanya untuk menghadapi temu duga serta melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kelak.

Kem ini sangat unik kerana semua aktiviti direka khas bagi memenuhi matlamat peribadi peserta. Semasa sesi pengenalan, mereka menulis tiga matlamat yang ingin dicapai pada akhir kem ini.  
Antara yang nyatakan ialah dapat bertutur dalam bahasa Inggeris di hadapan khalayak dengan yakin dan fasih serta pembelajaran yang menyeronokkan. Berdasarkan matlamat itu, fasilitator merancang aktiviti yang dapat membantu peserta mencapai matlamat mereka.

Peningkatan Berbahasa Inggeris

Salah seorang peserta, Camilla Mohamad Shafiee, 20, memberitahu, kemahiran berbahasa Inggerisnya meningkat dengan ketara pada akhir kem itu. Kini, dia mampu bertutur dan menyampaikan mesej dalam bahasa Inggeris dengan baik di depan khalayak.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik dan lain daripada lain yang membantu peserta untuk berfikiran lebih imaginatif, kreatif serta kritis.

Antaranya, aktiviti Crazy Salesperson yang memerlukan mereka meyakinkan pembeli untuk membeli produk pelbagai kegunaan di luar akal logik.

Seterusnya, setiap kumpulan ditugaskan untuk mementaskan sebuah drama berdasarkan genre yang diberikan.

Sumber:  Kosmo Online